26 Jun 2009. Dunia digemparkan dengan kematian Pop Star, Michael Jackson. Seluruh dunia, berkabung dan bersedih atas kematian Michael atau Jacko.
13 Jun 2009 yang lalu. Umat Islam kehilangan tokoh ulamak haraki, Ustaz Dr. Fathi Yakan. Seluruh pendokong gerakan Islam bersedih kerana hilangnya satu permata. Kehilangannya berlaku ketika umat Islam dilanda pelbagai masalah. Umat Islam kini kehilangan arah, pemikiran mereka telah dirosakkan. Umat Islam begitu lemah, mereka diganyang dan dibuli oleh musuh Islam.
Hasil tulisan serta fikrah Islam beliau telah dijadikan panduan. Telah memberi petunjuk kepada siapa yang mahu.
Kedua-dua tokoh ini amat jauh berbeza. Mereka mempunyai penyanjungnya yang tersendiri. Kematian dua tokoh ini pada bulan masihi yang sama.
Saya bukan nak menyalahkan Jacko yang khabarnya telah mendapat hidayah memeluk Islam. Hasil dari pembacaan kisah beliau, selepas melawan kuasa Allah dengan mengubah wajah asal yang dikurniakan Allah s.w.t. Beliau keluh kesah dan sentiasa mengalami penderitaan serta tekanan jiwa.
Semuanya kerana kekayaan luar biasa yang beliau miliki. Tidak tahu apa nak digunakan kekayaan tersebut, beliau gunakan untuk menukar imej. Pada masa itu, beliau belum memeluk Islam. Tiada iman, tiada panduan hidup. Duit adalah Tuhan. Dengan duit kita boleh mengubah apa sahaja, kerana duit itu umpama Tuhan.
Selepas beliau memeluk Islam tahun lepas.Dikatakan beliau ingin berubah, konsert tahun ini
dikatakan konsert terakhir buat beliau. Mungkin beliau melihat abangnya, Jermaine yang telah pun memeluk Islam. Jermaine hidup di dalam tenang dan gembira selepas memeluk Islam yang kini tinggal di Bahrain. (Gambar: Jacko berpayung, dikatakan selepas bersolat di sebuah masjid serta memberi sumbangan kepada masjid tersebut).
Saya ingin mengajak kita lihat dua tokoh ini dalam konteks negara kita Malaysia.
Seperti yang kita ketahui, jika kita tanya secara rambang di negara kita. Sudah pasti Jacko amat dikenali berbanding Almarhum Ustaz Fathi Yakan. Semuanya kerana pemikiran umat Islam di Malaysia masih dijajah. Walaupun penjajah telah kembali, pemikiran mereka disambung oleh penjajah tempatan (yang sama warna kulit, sama bahasa dan sama budaya).
Saya tidak menyalahkan Jacko. Mungkin Jacko yang mempunyai bakat luar biasa tersebut mulai sedar selepas memeluk Islam, bahawa beliau yang disanjung tidak boleh memberi apa-apa untuk kebaikan umat manusia. Beliau sendiri rasa kekosongan dan sakit jiwa. Mungkin beliau sedar bahawa dia diperalatkan untuk memesongkan pemikiran umat manusia.
Adalah pelik... untuk menjadikan orang yang sedang teraba-raba mencari cahaya kebenaran sebagai idola. Tetapi golongan ulamak yang boleh membimbing dan memberi cahaya petunjuk tidak dikenali. Inilah penjajahan pemikiran yang berjaya diterapkan di kalangan generasi Islam hari ini.
Saya menyeru kepada semua generasi Islam untuk melakukan pusingan 'u'. Agar kita semua tidak terjebak dengan pemesongan fikiran. Carilah kebenaran dengan menjadikan para ulamak muktabar sebagai idola. Jadikanlah tulisan mereka sebagai panduan hidup. Agar hidup kita akan tenang dan tidak bercelaru di akhir zaman ini.
Wallahua'lam...





















