Isu Semasa

Menjawab isu doa Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA)


Oleh: Syarmyla

Assalamualaikum...

Dalam sehari dua ini dunia Malaysia dikejutkan dengan doa TGNA terhadap PM Malaysia. Ada yang terkedu tak terkata dan ada yang terkata tetapi nampak macam terbelenggu.

Berbagai- bagai pandangan dilontarkan baik dari golongan ulama sehingga kontraktor Kelas D pun nak bercakap. Bukankah kita diajar agar diam jika tak tahu nanti nampak sangat kejahilan diri. Di sini ingin saya kongsikan sedikit beberapa maklumat berkaitan dengan isu tersebut.

Pertama: Imam Nawawi menulis di dalam kitabnya yang berjudul Al-Azkar mukasurat 438 bab (جواز دعاء الأنسان على من ظلم المسلمين أو ظلمه وحده )yang bermaksud "harus bagi seseorang berdoa terhadap orang yang menzalimi orang Islam yang lain atau menzalimi dirinya sahaja".

Di dalam hal ini kita bahagikan kepada 2;

Pertama: Berdoa untuk orang kafir harbi, sudah pasti ianya tidak menimbulkan suatu isu yang besar baik Umno mahupun PAS. Di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim dinyatakan bagaimana nabi berdoa untuk mereka yang pernah meletakkan di belakang baginda najis ketika sujud di hadapan kaabah diantara mereka ialah Abu Jahal dan enam orang yang lainnya.

Kedua: Berdoa untuk sesama Islam dengan keburukan. Ha inilah yang menjadi topik utama kali ini. InsyaAllah saya akan sambungkan nanti bersama hujah dari hadis nabi s.a.w dan athar para sahabat.

Pertama; hadis nabi yang diriwayatkan dari Salmah bin Al Akwak r.a bahawa dia berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki telah makan bersama nabi s.a.w menggunakan tangan kirinya, lalu nabi bersabda; "Makanlah dengan tangan kanan mu! Lelaki itu berkata, "Aku tidak boleh(mampu)... Nabi bersabda dengan nada yang tegas, "Engkau tidak mampu? Sebenarnya bukan ia tidak mampu tetapi kesombongannya itu menghalangnya dari melakukannya, kata Salmah; Selepas peristiwa itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangannya untuk menyuap makanan.

Kedua; kisah Said bin Zaid yang mana telah mengadu seorang wanita yang bernama Arwi bt Aus kepada Khalifah Marwan bin Al Hakam bahawa Said telah mengambil sesuatu dari tanahnya, Kata Said r.a, "Bagaimana aku boleh mengambil sesuatu dari tanahnya sedangkan aku pernah mendengar nabi bersabda. Kata khalifah Marwan bin Al-Hakam,"apakah yang kamu dengar?Kata Said, "Aku mendengar nabi s.a.w bersabda; "Barangsiapa yang mengambil sejengkal dari tanah orang lain dengan cara zalim, Allah akan menimpakan kepadanya dengan 7 lapis tanah pada hari kiamat. Kata Marwan, "aku tak akan meminta sebarang bukti dari mu wahai Said. Lalu Said bin Zaid berdoa"Ya Allah jika sekiranya ia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan matikanlah ia di dalam tanahnya sendiri. Akhirnya wanita itu telah buta matanya dan mati kerana terjatuh ke dalam periginya sendiri.

Maka tidak cukupkah apa yang saya bawakan ini sebagai hujah terhadap apa yang didoakan oleh TGNA.

Isu Semasa

Siapa 'tangan ghaib' yang memalukan Dr. Asri?

Setelah mengikuti perkembangan dan ulasan dari pelbagai sumber, samaada dari media elektronik, media cetak dan media baru. Terdapat beberapa rumusan yang ingin saya sampaikan dalam blog ini.

Ramai yang membuat pelbagai spekulasi. Tak kurang yang membuat spekulasi 'bodoh' menuduh angkara Dr. Hassan Ali, yang kita lihat tiada kena mengena dengan Dr. Asri.

Pihak JAIS pula terlalu banyak berpusing-pusing di dalam memberi jawapan. Pihak media yang pro-Umno mula mencari ruang untuk 'mengenakan' kerajaan Selangor (yang dikuasai PR), tetapi tidak berjaya apabila MB Selangor, TS Khalid Ibrahim suruh JAIS rujuk kepada Sultan Selangor kerana Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa ke atas agama di Selangor (termasuk MAIS dan JAIS), yang berkuasa hanya Sultan. Ramai yang dah mula faham, tindakan JAIS tiada kena mengenakan dengan Kerajaan PR sekaligus termasuk Dr. Hassan Ali sebagai Exco Agama.

Bagi Dr. Asri ia adalah mainan politik, dan saya jangka Dr. Asri maksudkan bukan politik kepartian. Tetapi, politik konspirasi Jabatan Agama (Jakim, Yadim dan Jabatan Agama Islam). Kalau kita lihat rentetan peristiwa, isu penangkapan ini berlaku selepas Memo bantahan yang diketuai Majlis Peguam Syarie dan beberapa NGO Islam yang lain.

Jangkaan Dr. Asri ada nampak logiknya. Tapi, punca utama yang menyebabkan berlakunya penangkapan Dr. Asri ialah kerana fahaman beliau.

Biar pun Dr. Asri menafikan beliau bukan Wahabi. Tetapi, orang yang dicop Wahabi tidak akan mengaku diri mereka Wahabi kerana gelaran tersebut bukan datang dari mereka. Tetapi, gelaran Wahabi diberi oleh golongan kaum tua kepada golongan kaum muda.

Pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua di Tanah Melayu

Kalau nak catat sejarah kedatangan Wahabi di Tanah Melayu memang panjang ceritanya. Secara ringkasnya, pada peringkat awal kedatangan Wahabi ia berpunca dari pelajar Tanah Melayu yang pulang melanjutkan pelajaran agama di Madinah, Mekah dan segelintir dari Mesir. Mereka berpegang kukuh dengan hadis dengan maksud, "setiap bidaah adalah sesat, golongan yang sesat tempatnya adalah neraka".

Apabila golongan Wahabi dah mula bertapak di Tanah Melayu. Maka, mulalah kedengaran penceramah membidas tahlil arwah, talkin, berzanji, lepas solat tiada zikir dan doa, bacaan yasin beramai-ramai malam Jumaat, doa qunut solat Subuh, tiada qiyas, tiada mazhab dan banyak lagi dianggap bidaah dalolah (sesat).

Satu kejutan bagi umat Islam Tanah Melayu yang berpegang kepada mazhab Syafie yang lemah lembut dan bersopan, bersesuaian dengan cara hidup orang Melayu.

Maka, berlakulah perdebatan antara ulamak kaum tua dan ulamak kaum muda. Tercabarlah pegangan Al-Quran, Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qiyas yang jadi pegangan Jabatan Agama di Tanah Melayu. Kaum Tua mengatakan mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Kaum Muda (Wahabi) juga mengatakan mereka ASWJ. ASWJ Kaum Muda hanya berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Tiada Ijmak Ulamak dan Qiyas, tiada Mazhab.

Pertikaian ulamak tradisonal dan Wahabi akhirnya tenggelam begitu sahaja. Umat Islam Tanah Melayu anggap ia hanya perbezaan pendapat. Walaupun masih ada yang ekstrim dikalangan kedua-dua pihak, ia umpama api di dalam sekam.

Walaubagaimana pun Wahabi tidak berapa berjaya mengembangkan sayap melalui penubuhan pusat pengajian yang dikenali Darul Sunnah. Ia berbeza dengan pondok tradisional yang berkembang pesat di Malaysia. Begitu juga dengan sekolah pengajian agama yang dibiayai kerajaan bermodulkan mazhab Syafie.

Fahaman Wahabi hanya berjaya di Perlis (tetapi tidak menyeluruh) dan berjaya mempengaruhi pelajar yang belajar di Madinah dan Mekah, tetapi gagal di tempat lain dan ia bergerak secara senyap umpama api di dalam sekam.

Walaupun gerakan Wahabi tidak ditentang keras, tetapi ia dianggap tidak sesuai dengan suasana Malaysia. Ia boleh memecah belahkan rakyat Malaysia yang senang dengan cara hidup Islam tradisional. Sebab itu, apabila ulamak yang berfahaman Wahabi dah mula diberi tempat memegang jawatan penting dalam Jabatan Agama peringkat negara. Maka, golongan yang tidak senang perkembangan tersebut mula bertindak.

Penduduk tempatan yang berfahaman Islam tradisonal juga tidak menyenangi Wahabi bergerak mempengaruhi penduduk. Mereka anggap ia akan memecahbelahkan umat Islam di tempat mereka. Hasil konspirasi penduduk Islam dan Jabatan Agama akhirnya melahirkan penangkapan Dr. Asri, yang dilihat mempunyai pengaruh besar menyebarkan fahaman Wahabi yang dianggap tidak sesuai di Tanah Melayu (Malaysia).

- Wallahua'lam...